Selamat Bercuti

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Alhamdulillah telah tiba masa tamatnya sesi persekolahan bagi tahun 2015. Bermula esok, para pelajar akan mula bercuti sehinggalah bermula kembali sesi persekolahan bagi tahun 2016.

Sepanjang sesi persekolahan tahun 2015 ini juga, berbagai suka duka pahit manis yang ditempuhi oleh warga SRAR Sg. Rokam dari awal mula sesi persekolahan hinggalah ke penghujungnya ini.

Bermula dari awal tahun, berikutan kejadian banjir yang melanda beberapa negeri di Semenanjung Malaysia hingga memaksa sesi persekolahan tahun 2015 ditunda selama satu minggu bagi memberi peluang kepada sekolah-sekolah di negeri yang terlibat bencana banjir memulihkan persekitaran sekolah sebelum memulakan sesi persekolahan.

Dalam suku pertama awal penggal persekolahan, pihak SRAR Sg. Rokam turut menghantar pelajar-pelajar bertanding dalam ikhtifal Sekolah-sekolah KAFA di mana pada tahun ini juga, SRAR Sg. Rokam menambah penyertaan dengan menubuhkan satu kumpulan nasyid perempuan dan dua kumpulan marhaban yang terdiri dari kumpulan pelajar lelaki dan perempuan.

Tahun ini juga buat pertama kalinya SRAR Sg. Rokam menganjurkan satu program ceramah kebakaran dan keselamatan dengan kerjasama dari pihak Bomba dan Penyelamat Malaysia. Selain diadakan ceramah mengenai keselamatan jika berlaku kebakaran, para pelajar juga ditontonkan dengan demonstrasi memadam kebakaran dibawah seliaan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Selain itu, untuk pengisian program dan aktiviti bagi pelajar-pelajar di SRAR Sg. Rokam, pihak SRAR Sg. Rokam telah menjemput Ustaz Muhammad Zainuddin atau lebih dikenali dengan panggilan PU Yeop bagi memberikan ceramah bimbingan bersempena hari Isra' dan Mikraj. 

Mengakhiri penggal pertama persekolahan, para pelajar menduduki peperiksaan bertulis pertengahan tahun. Alhamdulillah bagi pencapaian keseluruhan menunjukkan ada sedikit peningkatan berbanding tahun lalu.

Dalam tahun ini juga, SRAR Sg. Rokam menerima satu berita gembira dimana salah seorang dari pelajar sekolah ini berjaya menjadi pelajar perempuan terbaik daerah Ipoh dalam peperiksaan UPKK tahun 2014. 

Namun disebalik menerima berita gembira itu, warga SRAR Sg. Rokam juga dikejutkan dengan satu berita mendukacitakan apabila salah seorang ibu kepada pelajar sekolah ini ditimpa kemalangan maut akibat dilanggar oleh kenderaan lain.


Bersempena bulan kemerdekaan negara kita Malaysia, pihak sekolah turut serta meraikan dengan mengadakan program pertandingan melukis dan mewarna bagi para pelajar SRAR Sg. Rokam. 

Pada tahun ini, SRAR Sg. Rokam mendaftarkan seramai 90 orang pelajar tahun 5 untuk menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) namun hanya 84 orang calon yang berjaya menduduki peperiksaan ini hingga akhir.

Bagi pelajar tahun 6 pula, seramai 50 orang calon didaftarkan untuk menduduki peperiksaan SRAI namun seramai 4 orang telah menarik diri (berhenti sekolah) menjadikan hanya 46 orang calon yang tinggal.

Alhamdulillah walaupun negara kita dilanda masalah jerebu ketika peperiksaan-peperiksaan penting ini dijalankan hingga menyebabkan beberapa jadual peperiksaan terpaksa ditunda, ianya dapat juga dilaksanakan dengan jayanya.

Sebagai pengisian kepada para pelajar sesudah tamat menduduki peperiksaan akhir tahun, pihak SRAR Sg. Rokam dengan jayanya telah mengadakan hari Sukaneka buat kali yang kedua untuk para pelajar dan bermula tahun ini juga, baju sukan khas SRAR Sg. Rokam telah diperkenalkan kepada para pelajar untuk digunakan bagi program dan aktiviti luar kelas.

Menutupi tirai program dan aktiviti SRAR Sg. Rokam bagi tahun 2015, hari Khatam Al-Quran dan Hari Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik 2015. Seramai hampir 100 orang pelajar diraikan dalam majlis ini bagi meraikan kecemerlangan mereka di dalam pencapaian masing-masing.

20 November 2015, hari terakhir sesi persekolahan bagi tahun 2015. Bermula 21 November 2015, para pelajar akan mula bercuti sekolah. Kami warga tenaga pengajar SRAR Sg. Rokam mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang memilih untuk menjadi anak didik di SRAR Sg. Rokam. Selamat bercuti sekolah dan semoga berjumpa lagi tahun hadapan. 




Previous
Next Post »