SAMBUTAN BULAN KEMERDEKAAN 2016

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua yang mengunjungi laman web SRAR Sungai Rokam. Dalam kesibukan mengatur dan mengendalikan peperiksaan percubaan untuk pelajar tahun 5 yang bakal menduduki Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) dan pelajar tahun 6 yang akan menduduki Sijil Rendah Agama Islam (SRAI), para tenaga pengajar SRAR Sungai Rokam sempat juga mengadakan program sambutan bulan kemerdekaan negara kita yang diadakan pada 24 Ogos yang lepas.

Disebabkan kekangan masa dan kesibukan dengan tugasan PdP dan mempersiapsiagakan pelajar-pelajar yang menjadi calon peperiksaan UPKK dan SRAI pada tahun ini, program yang sempat diadakan cuma dapat dijalankan secara berskala kecil melibatkan kedua-dua sesi persekolahan.

Seperti tahun sebelumnya, kali ini juga diadakan pertandingan mewarna bagi para pelajar tahap satu yang melibatkan anak-anak didik tahun 1, 2 dan 3 manakala bagi pelajar tahap dua yang melibatkan anak-anak didik tahun 4, 5 dan 6 pula diadakan pertandingan melukis poster bertemakan hari merdeka.

Terima kasih kepada semua tenaga pengajar dan anak-anak didik yang terlibat. InsyaAllah acara sambutan bulan kemerdekaan ini akan dimasukkan ke dalam kalendar aktiviti tahunan SRAR Sungai Rokam.























Previous
Next Post »